Wednesday, September 17, 2008

Perangkap perkauman sentiasa ternganga menunggu masa

Ketika saya mula menulis kolum ini - jam 2.55 pagi, Sabtu, 13 September - tiga tokoh dalam bidang masing-masing, pemilik laman Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan ahli Parlimen DAP yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok, telah diserkup ISA.

Ramai kawan-kawan bertanya, siapa lagi 12 orang yang dikatakan bakal turut dikurung tanpa bicara mereka? Ia merujuk kepada sms yang mengingatkan kemungkinan Operasi Lalang II bakal mencengkam bumi tercinta ini. Mendengar ancaman ISA, ramai aktivis, termasuk yang paling lantang bersuara, "kecut perut"; tanyalah Mohamad Sabu atau Karpal Singh!


Dalam Operasi Lalang 1987, 21 tahun lalu, seramai 106 aktivis dipenjarakan, manakala tiga akhbar turut digantung, iaitu Watan (bahasa Melayu), The Star (bahasa Inggeris) dan Sin Chew (bahasa Cina). Kali ini, bermula dengan tiga tangkapan, disusuli surat tunjuk sebab buat tiga akhbar, Suara Keadilan (bahasa Melayu), The Sun (bahasa Inggeris) dan Sin Chew (bahasa Cina).

Seperti biasa akhbar-akhbar yang dikuasai mutlak Umno, misalnya Utusan Malaysia, terselamat, meskipun ia lebih ghairah menyalakan api perkauman.

Dalam tradisi sekatan akhbar di negara ini, kalaupun tindakan mahu diambil kepada akhbar arus perdana, hanya ketua pengarang ditukar, manakala permit akhbar berkenaan jarang disentuh. Bagi akhbar atau majalah lain yang dianggap sukar dikawal, misalnya Detik, Eksklusif, Wasilah, permitnya mudah ditarik balik.

Yang dibimbangi dalam kejadian mutakhir adalah tangkapan borong meliputi semua parti, seperti terserlah pada 1987, mungkin untuk menunjukkan "keadilan" dan "sama-rata", sehingga ramai tokoh dan pertubuhan yang tidak terbabit dengan sentimen perkauman dan keagamaan sempit, turut dicekup.

Tidak mustahil tokoh-tokoh PAS, DAP dan KeADILan, serta beberapa NGO prihatin, akan dikurung sama, walaupun yang memanipulasikan emosi hanya pemimpin komponen BN.

Pokok pangkalnya adalah kuasa BN yang mula terhakis dan hampir terlucut. Ia mesti diselamatkan dengan apa saja cara, tidak kira berapa banyak kos hangus. Operasi Lalang 1987 juga didorong oleh krisis dalaman Umno yang cukup dahsyat. Kes Umno 11, ekoran pemilihan parti 24 April 1987, dan perisytiharan Umno haram oleh Hakim Harun Hashim meletakkan parti pemerintah seperti telur di hujung tanduk. Tun Salleh Abas dan dua lagi Hakim Mahkamah Agung dipecat hanya demi menyelamatkan kerusi Perdana Menteri ketika itu.

Situasi sekarang pastinya lebih kritikal buat Umno dan Perdana Menteri serta konco-konconya. 16 September mungkin berlalu begitu sahaja, tetapi segalanya bukan penamat. Peralihan kuasa BN kepada Pakatan Rakyat tidak terikat dengan sebarang tarikh. Kepincangan dalaman Umno, termasuk kemasukan semula Dr Mahathir Mohamad, meletakkan Abdullah Badawi seperti cacing kepanasan.

Muhyiddin yang dahulunya dilihat selesa dengan Abdullah kini "mengejutkannya". Najib pula, sejak mula dilantik timbalan Abdullah, tidak pernah menunjukkan kesetiaan tulen. Pelan peralihan kuasa 2010 akan dirobek bila-bila masa sahaja. ISA sememangnya senjata berkesan pemerintah untuk "mematikan momentum" kesedaran rakyat, namun kali ini mungkin tidak lagi.

Keresahan masyarakat terhadap bebanan hidup cuba dipesongkan kepada isu-isu palsu yang mudah disemarakkan. Ya, isu perkauman. Ia mudah dibakar dalam sekelip mata.

Apatah lagi dengan keputusan pilihan raya 2008 terutama di Selangor dan Perak, istilah "ketuanan Melayu" benar-benar diperalatkan. Menjadi semakin malang apabila ramai terjebak tanpa sedar risiko di belakang, termasuk pimpinan Pakatan Rakyat.

Kematangan kita berpolitik masih boleh dipersoal. Banyak aksi tidak rasional berleluasa di luar sana. Sentimen perkauman tetap mudah dibakar. Rupanya kita terus terikat dengan mentaliti lama. Semakin banyak kita bercakap tentang politik baru yang didakwa bukan-perkauman, namun realitinya "perangkap" itu masih ternganga luas menunggu mangsa.

Suara-suara rasional terus terpinggir dan "pemerintah korup" mungkin terus berjaya mengeksploitasinya demi mengekalkan kuasa yang hampir terlucut itu.

II. Selepas 10 keluaran Harakah

Hampir sepuluh keluaran Harakah, yang diterbitkan dua kali seminggu, sudah berada di pasaran. Komitmen kami untuk memberi satu kelainan, selaras dengan penerbitan yang makin kerap, mengundang pelbagai reaksi.

Walaupun banyak tanggapan positif, sekali gus lambakan kalungan tahniah, namun tidak kurang pula yang meluahkan rasa tidak puas hati, sambil memberi cadangan balas.

Sememangnya Harakah sentiasa menjadi tumpuan, terutama buat peminat politik, khususnya selepas era reformasi, September 1998. Walaupun cuba dimusnahkan fungsinya sebagai sebuah akhbar alternatif apabila dipancung kekerapannya bermula Mac 2000, Harakah tetap dicari pembaca.

Malah, Almarhum Pak Samad Ismail, dalam satu majlis ceramah kewartawanan di pejabat Harakah, di awal tahun 90-an, turut mengakui, secara berseloroh, bahawa beliau merupakan pelanggan setia Harakah, "walaupun ada kalanya saya tidak begitu faham intro berita yang ditulis".

Pak Samad cuba memberitahu, meskipun ada kelemahan dalam penulisan pemberita Harakah, terutama di peringkat awal dahulu, namun kandungannya mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri kerana ia sukar diperolehi dalam akhbar-akhbar lain.

Kini Harakah perlu bertanding di pasaran terbuka dengan menampilkan bahan-bahan terbaik. Berita terkini, pendedahan mengejutkan, analisis bernas, sudut pandangan tidak terduga, rencana bermaklumat, komentar padat tetapi segar, serta laporan penyiasatan yang ditunggu-tunggu.

Ya, bahan-bahan alternatif bukan milik eksklusif Harakah lagi. Media arus perdana nampak semakin terbuka. Siaran tv satelit turut memberi pilihan yang beraneka.

Menyedari dunia kewartawanan semakin kompleks dan tuntutan pembaca kian sofistikated, Harakah harus mencapai target dalam kadar segera.

Jika mahu disenaraikan halangan dan hambatan, tentulah ia panjang berjela. Iklim politik kita tidak kondusif untuk memartabatkan sebuah akhbar alternatif yang bermutu.

Malah sebagai lidah rasmi sebuah parti politik, cabarannya datang dari luar dan dalam. Bukankah setiap ahli PAS berhak merasakan Harakah milik mereka, lalu mereka boleh berimiginasi seluas mungkin, mengharapkan akhbar ini memenuhi impian?

Dan kami tidak boleh meremehkan setiap harapan itu memandangkan Harakah dapat kekal tegak berdepan pelbagai tribulasi sepanjang 21 tahun ini, antara lain, kerana didokong ahli-ahli PAS yang cukup setia.

Pastinya Harakah masih banyak kekurangan dan kelemahan. Di samping mengalu-alukan kritikan, kami amat menghargai sumbangan tulisan dan juga maklumat berguna. Harakah bersedia dibedah-siasat bagi mengungguli jihad pena ini.

Seperti pembaca yang cukup dahagakan maklumat, berita dan analisis berkualiti, kami juga mahu menghidangkan yang terbaik. Fungsi Harakah sebagai akhbar sudahpun dipulihkan, dengan penerbitan dua kali seminggu ini, tinggal kesungguhan dan kecekalan bagi memastikan kewibawaannya juga meningkat. Jangan lupa, sumbangan anda amat kami harapkan. - mks.

Baca Seterusnya......

Wednesday, September 10, 2008

Membaca petunjuk sepanjang jalan

"Jadi atau tidak?" Itu soalan paling popular mutakhir ini. Ia merujuk kemungkinan kerajaan pusat bertukar tangan 16 September depan.

Ramai teman-teman menganggap 'orang surat khabar' seperti saya lebih tahu apa yang bakal berlaku. Sedangkan, kami seperti juga orang lain, lebih banyak mendengar spekulasi yang cukup sukar untuk disahkan. Memang payah membaca tanda-tanda bisu lanskap politik kita.

Justeru, banyak SMS tak berjawab. "Lagipun," kata saya, "16 September hanya tinggal beberapa hari saja lagi, tunggulah."

Namun, naluri manusia memang mahu tahu sesuatu berita panas lebih awal daripada pemakluman secara sah. Begitu juga dengan keputusan pilihan raya Permatang Pauh yang lalu, semua orang berebut-rebut mencari sumber bagi mendapatkan maklumat awal, sedangkan rasanya mereka tidak pula mendapat apa-apa manfaat tambahan dengan result tidak rasmi itu.

Majoriti rakyat Malaysia mengharapkan perubahan lebih baik daripada sistem pemerintahan dan pentadbiran kerajaan hari ini. Tsunami 8 Mac belum berakhir.

Keluh-kesah rakyat makin memanjang. Umno-BN mungkin sedaya upaya cuba memulihkan kedudukannya yang hampir tenggelam itu, tetapi jalan keluar seperti tertutup. Buntu.

Pertelagahan dalaman tidak dapat disembunyikan lagi. Tengok sajalah kes Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail. Saya kira insiden itu boleh mempercepatkan lagi Gerakan bertindak keluar BN!

Saya sendiri tidak dapat menelah dengan tepat apa strategi Anwar Ibrahim mengumumkan lebih awal tarikh 16 September itu. Yang pasti, kesan psikologinya memang cukup hebat.

Misalnya, tiba-tiba saja timbul cadangan lawatan keluar negara untuk anggota Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) bagi "mengetahui maklumat teknologi tinggi pengeluaran makanan dan pertanian".

Satu program yang begitu melucukan, ketika umat Islam mendakap erat bulan penuh keberkatan dan kakitangan kerajaan dilarang mengadakan program di luar negara.

Nampak sangat mengelabahnya kerajaan BN dengan "usikan" Anwar. Kini, Anwar berjaya meletakkan bebanan mempertahankan diri kepada Umno-BN.

Diakui memang terdapat percanggahan pendapat mengenai kerajaan baru yang bakal dibentuk Anwar, terutama dari segi moral "melompat atau menyeberang" parti, atau membentuk gabungan lebih besar dalam Pakatan sekiranya parti-parti komponen bertindak keluar BN.

Begitu juga dengan kekhuatiran bahawa kuasa Melayu dalam kerajaan baru itu semakin menipis; Naib Presiden PAS, Husam Musa menyanggah keras kebimbangan itu, yang kalaupun ada, baginya hanya bersifat sementara.

Justeru, langkah PAS semakin diperhatikan. Posisinya dalam Pakatan bertambah penting. Silap perhitungan, deraan sejarah selalunya keras.

Kebijaksanaan mengatur gerak amat dituntut, selain melihat harapan menggunung rakyat yang mahu mencipta sejarah kedua selepas tsunami 8 Mac.

Seorang rakan lama Tionghua agak kerap menelefon, mengingatkan saya tentang kepentingan PAS untuk bersama-sama melakar sejarah baru politik tanahair: "Saya yakin keseimbangan politik kita hanya terjamin jika PAS berada dekat di sebelah Anwar dalam kerajaan baru nanti, bukan DAP, bukan Lim Kit Siang atau parti-parti lain.

"Jumlah anggota Parlimen setiap parti memang penting, tetapi yang lebih mustahak ialah kemahiran kita untuk membaca sensitiviti kaum dan agama yang menjadi elemen penting politik kita.

"Maaf, saya kira komposisi Exco di Perak seperti memandang enteng hal berkenaan. Jangan ulanginya di peringkat pusat jika 16 September jadi kenyataan."

Baca Seterusnya......

Bila kita diteropong

Ikatan longgar dalam Pakatan Rakyat ada buruk baiknya. Masing-masing parti dilihat berada pada kedudukan setaraf, tidak ada yang dominan dan menguasai yang lain. Ia dapat mengelak penyakit dalam BN apabila hegemoni Umno membuatkan parti-parti lain berasa kerdil dan tersisih.

Kuasa pula tidak terpusat kepada sesebuah parti atau seseorang tokoh. Semasa BN menguasai beberapa negeri, yang kini jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, hampir semua anggota Exconya jarang memberi tumpuan atau fokus kepada potfolio masing-masing.

Mereka pula begitu sukar untuk ditemui di pejabat. Apabila ditanya, jawab mereka: "Apa perlu kami ke ofis, lebih baik main golf, atau buat bisnes, sebab segalanya diputuskan Menteri Besar, terutama mengagihkan khazanah kekayaan negeri.

"Di bawah Pakatan Rakyat, terutama di negeri-negeri seperti Perak dan Selangor, yang komposisi anggota Exconya nampak seimbang di antara PAS, KeADILan dan DAP, saya kira rakyat sedang melihat dan membuat penilaian, apakah persepakatan yang terbentuk itu hanya lakonan dan rapuh sifatnya, ataupun memang padu menanggung amanah rakyat?

Memang Pakatan tidak semestinya meniru gagasan BN, yakni tidak perlu tergesa-gesa mencari satu simbol bersama atau membentuk gabungan secara formal untuk didaftarkan.

Ia boleh saja beroperasi seperti sekarang, dengan menonjolkan aspek-aspek kebersamaan, meskipun diakui banyak isu atau pertentangan yang belum dapat diselesaikan.

Keikhlasan dan kejujuran amat penting dan mendesak sekali. Ia sebenarnya dapat dilihat oleh rakyat. Jika kita jujur, walaupun pada awalnya sesuatu isu atau konflik itu seperti menekan dan menggusarkan, akhirnya jalan keluar, insya-Allah, dapat dicapai juga.

Pengalaman Kelantan di bawah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat membuktikannya. Banyak serangan ditumpukan, termasuk untuk menghakis kewibawaan Tok Guru, namun berkat kejujuran dan keikhlasannya, semua asakan itu dapat diatasi dengan baik sekali.

Satu perkara yang harus disedari adalah elemen kemajmukan persekitaran kita. Bukankah kerencaman politik Malaysia mengundang persoalan-persoalan yang tidak mudah untuk diselesaikan?

Realiti kepelbagaian negara kita menuntut ketekunan dan kesabaran, juga paling penting, keterbukaan dan sikap kepala dingin untuk mendengar pandangan berbeza. Apa lagi PAS yang berdiri atas satu ideologi, yang sejak awal sudah dilihat bertembung dengan ideologi parti-parti sahabat.

Jika menghadapi masalah dengan DAP dalam menguruskan sebuah kerajaan negeri, misalnya, apakah kerumitan tidak timbul jika terbentuk pakatan baru, contohnya dengan MCA atau Gerakan?

Pengalaman seharusnya mendewasakan PAS dan parti-parti pembangkang lain. Ustaz Idris Ahmad pernah menulis tentang perlunya ketaatan ahli terhadap keputusan jemaah, meskipun nurani memberontak.

Gumpalan pengalaman PAS dalam pelbagai eksperimen politiknya banyak membantu menyuluh rentak masa depan. Namun, realiti kini banyak bezanya.

Posisi PAS yang dianggap penentu utama lanskap politik tanah air tidak wajar melenakan kita. Biarpun jumlah keahlian, semangat pendokong, kekuatan akar umbi dan pembentukan organisasi di semua peringkat menyebelahi PAS, namun sambutan dalam pilihan raya tidak semestinya merumuskan bahawa parti Islam itu sentiasa mengatasi prestasi pembangkang yang lain.

Dalam demokrasi, angka (penguasaan kerusi) cukup penting. Sekarang, gerak bicara dan tindak-tanduk PAS diperhatikan penuh minat. Latar belakang pimpinannya, terutama yang dilihat berpotensi sebagai pemimpin masa depan diintip dan diekori.

Masyarakat antarabangsa turut meneropong. Mereka mahu bersedia menghadapi perubahan, agar "tidak ketinggalan keretapi". Yang bimbangnya, kita sendiri tidak menyedari bahawa kedudukan kita sudah beranjak jauh, lalu terus terperosok di bawah tempurung lama.

Baca Seterusnya......

Monday, September 1, 2008

Kematian dan Ramadan

Ramadan datang lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Ia kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah.

Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah.

Namun, ini mungkin Ramadan terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah.

Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini.

Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketakwaan dibentang seluas-luasnya.

Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan.

Menghampiri Ramadan kerap mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba buat selama-lamanya, jantung hati kami sekeluarga, Nurul Syafiqah, pada pagi 1 Ramadan, jam 8.15, tiga tahun lalu. Dalam usia 11 tahun, kematian Syafiqah, anak kedua kami, cukup meremukkan hati; mencampakkan saya, isteri dan empat anak yang lain ke penjuru satu dunia berbeza.

Ternyata kasih sayang buat anak kecil darah daging sendiri begitu luar biasa, tertanam jauh di dalam kalbu, menyelinap setiap denyut nadi.

Ya, Ramadan dan kematian menjadi cukup intim, saling mengingatkan, walaupun selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya keras sekali.

Hentakannya boleh memutuskan angan-angan. Sayang, insan selalu alpa. Kematian anak kecil, apa lagi yang tidak didahului dengan sakit memanjang, lebih "istimewa" berbanding kehilangan ibu atau ayah, atau keluarga terdekat lainnya.

Ia memang menyesakkan nafas, membuntukan fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Ilahi bisa datang secara tiba-tiba, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan.

Benar sekali sabda nabi. Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah pernah ditanya tentang orang Mukmin yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya.

Ditanya lagi, orang Mukmin mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab baginda, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian.

Ramadan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata.

Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi. Sesungguhnya Allah amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya.

Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadan yang sangat istimewa itu. Pesan saya buat diri yang sangat mudah terleka ini, walaupun Syafiqah kerap mengejutkannya. - mks._

Baca Seterusnya......